

Kata-kata Aluan
YB Datuk Seri Dr. HajiDzulkefly AhmadMenteri Kesihatan
Malaysia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya, Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia 1448H/2026H dapat dianjurkan dengan jayanya. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.
Al-Quran merupakan kalam Allah yang menjadi panduan hidup umat Islam, membawa rahmat dan hidayah kepada sesiapa yang membaca, memahami, dan menghayati isi kandungannya. Majlis seperti ini bukan sahaja menjadi medan untuk mengasah kemahiran membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul, malah turut memupuk kecintaan warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kitab suci ini, seterusnya melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmani dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam.
Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab menjaga kesihatan rakyat, warga KKM sentiasa berhadapan dengan cabaran dan tekanan tugas seharian. Justeru, penghayatan Al-Quran amat penting sebagai sumber kekuatan dalaman, ketenangan jiwa, serta panduan akhlak dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Saya berharap majlis ini akan terus menjadi tradisi tahunan yang dapat memperkukuh syiar Islam serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga KKM di seluruh negara. Tahniah sekali lagi kepada semua peserta yang telah menyertai pertandingan ini dan kepada jawatankuasa penganjur atas usaha gigih menjayakan majlis ini.
Sekian, wabillahitaufiq walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Selak menggunakan butang, titik halaman atau leret kiri/kanan pada telefon. Tekan ikon speaker untuk mendengar bacaan.